KUALA LUMPUR : Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jasa bekas Presiden MIC, Tun S Samy Vellu akan terus diingati masyarakat di negara ini tanpa mengira kaum. 

Anwar berkata, perkara itu disampaikan kepada keluarga mendiang ketika beliau bersama isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, menziarahi mereka.

"Bersama Azizah, ziarahi keluarga bekas Presiden MIC, Tun S Samy Vellu. Kami sampaikan takziah kepada Toh Puan Datuk Seri Vell Paari dan seluruh ahli keluarga atas pemergiannya. 

"Saya juga maklumkan bahawa jasa mendiang kepada masyarakat tidak mengira kaum di negara ini akan terus diingati," katanya dalam satu status yang dimuat naik di laman sosial Facebooknya pada Isnin. 

Anwar pernah berkhidmat bersama Samy Vellu ketika berada dalam Kabinet pada lewat tahun 1990-an.
 
Samy Vellu yang dilahirkan pada 8 Mac 1936, meninggal dunia kira-kira jam 7 pagi Khamis di kediamannya pada usia 86 tahun.

Mendiang yang memimpin MIC dari 1981 hingga 2010 merupakan antara pemimpin paling lama memegang jawatan dalam Kabinet, iaitu kira-kira tiga dekad bermula sebagai Menteri Kerja Raya pada 1979.

Jasad mendiang selamat disemadikan menerusi upacara pembakaran di Krematorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Cheras pada kira-kira jam 5.30 petang Jumaat.